SEPTEMBER 2021

Sarawak Bakal Beri Vaksin COVID-19 Kepada Remaja 12-15 Tahun Mulai 23 September Ini


KUCHING: Kerajaan Sarawak dalam perancangan memberikan vaksin COVID-19 kepada remaja berumur 12 hingga 15 tahun yang tidak mempunyai masalah kesihatan mulai 23 September ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan kira-kira 3.2 juta remaja dijangka terlibat dalam Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 pada kali ini.

“Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan bahawa pihaknya akan mengumumkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terpilih hari ini (Selasa).

“Program imunisasi tersebut dilakukan sebagai persediaan pembukaan sekolah pada 3 Oktober depan sekaligus memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menambah, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan mengambil peluang ini untuk melindungi anak-anak mereka.

“Para ibu bapa dan penjaga diminta hadir ke pusat vaksinasi menemani anak mereka bagi mengisi borang persetujuan,” jelasnya. –EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS